Taksonomi dan penamaan Hemiphaga novaeseelandiae

Sejarah dan binomial

Ahli kaji burung John Latham menulis tentang kererū di dalam karya beliau A General Synopsis of Birds pada tahun 1783 tetapi tidak memberikan nama saintifik.[2] Ahli alamiah Jerman Johann Friedrich Gmelin memberikan pemerian rasmi pertamanya pada 1789, meletakkan burung tersebut di dalam genus Columba sebagai C. novaeseelandiae,[3] dengan Latham menamakannya sebagai Columba zealandica dalam Index Ornithologicus 1790.[4] Genus Hemiphaga diperkenalkan oleh ahli alamiah Perancis Charles Lucien Bonaparte pada tahun 1854 dengan kererū (Hemiphaga novaeseelandiae) sebagai spesies jenis bagi genus itu.[5] Nama tersebut menggabungkan kata Yunani purba hēmi yang bermaksud "separuh/separa" atau "kecil" dengan penghujung nama genus Carpophaga, "memakan buahan", apabila Bonaparte melihat genus itu berkait dengan kedua-dua genus tersebut dan Megaloprepia (kini dimasukkan ke dalam Ptilinopus).[6]

Subspesies

Merpati Norfolk (H. n. subspesies spadicea), litograf oleh John Gerrard Keulemans (1907), berdasarkan pada spesimen yang terpelihara di Muzium Sejarah Semulajadi di Tring

Dua subspesies telah dikenal pasti iaitu H. n. subspesies novaseelandiae yang ditemui di merata New Zealand dan merpati Norfolk (H. n. subspesies spadicea) dari pulau Norfolk yang telah pupus. Subspesies itu berbeza dari segi warna dan bentuk pada buluan dada.[7] Pada tahun 2001, subspesies ketiga telah dicadangkan—H. n. chathamensis atau merpati Chatham—untuk diangkat kepada status spesies penuh H. chathamensis atas dasar buluan dadanya yang tersendiri, saiz yang lebih besar dan struktur tulang yang berbeza.[8] Sejak itu, perkara ini telah diterima secara meluas.[9][10] Analisis DNA mitokondrion mengesahkan bahawa kererū dan merpati Norfolk lebih berkait rapat antara satu sama lain daripada merpati Chatham, dan penyebaran di antara tiga daratan berkemungkinan besar berlaku semasa epok Pleistosen.[11]

Pengelasan

Kererū tergolong dalam keluarga Columbidae dan subkeluarga Ptilinopinae, yang ditemui di Asia Tenggara, Tanah Melayu, Australia dan New Zealand. Anggota-anggota subkeluarga ini kebanyakan memakan buah-buahan, terutamanya pepauh.[12] Di dalam subkeluarga itu, kererū dan merpati Chatham berada satu klad dengan keturunan yang sama dengan merpati toncet (Lopholaimus antarcticus) dari Australia dan merpati gunung (Gymnophaps) dari New Guinea, seperti yang ditunjukkan oleh rajah kladogram berikut:[13]

kererū/merpati New Zealand (Hemiphaga novaeseelandiae)

merpati Chatham (Hemiphaga chathamensis)

merpati toncet (Lopholaimus antarcticus)

merpati gunung Papua (Gymnophaps albertisii)

Nama umum

"Merpati New Zealand" telah ditetapkan sebagai nama umum rasmi bagi burung Hemiphaga novaeseelandiae oleh Kesatuan Ahli Ornitologi Antarabangsa.[14] Perkataan "kererū" (digunakan untuk bentuk mufrad dan jamak) merupakan nama paling umum dalam bahasa Māori,[15] dan pelbagai sumber arus perdana menggunakan nama kererū untuk spesies itu.[16][17][18][19][20][21] Ejaan kata pinjaman Māori dengan makron—yang menandakan vokal panjang—kini lebih umum dalam bahasa Inggeris New Zealand, di mana secara teknikal adalah mungkin.[22][23] Burung tersebut juga dikeali sebagai "kūkupa" dan "kūkū" di beberapa bahagian di pulau Utara, terutamanya di Northland,[15] manakala ahli kaji burung John Latham melaporkannya sebagai "Hagarrèroo" pada tahun 1783.[2] Kererū juga dikenali sebagai "merpati kayu".[24]

Rujukan

WikiPedia: Hemiphaga novaeseelandiae //pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/20399870 http://www.nzor.org.nz/names/0d34d965-3dbc-497c-95... http://www.boldsystems.org/index.php/TaxBrowser_Ta... //doi.org/10.1016%2Fj.ympev.2010.04.016 //doi.org/10.1080%2F03014223.2001.9517659 //doi.org/10.1111%2Fj.1365-2699.2010.02414.x //doi.org/10.2305%2FIUCN.UK.2016-3.RLTS.T22727557A... http://www.fossilworks.org/cgi-bin/bridge.pl?a=tax... http://www.irmng.org/aphia.php?p=taxdetails&id=107... http://www.jstor.org/stable/24060614